Silat

Silat

Juga digelar Seni Silat (Malaysia), Tradisi Silat (Indonesia)
Fokus Tari, Pukulan, Kuncian,

Bantingan, Senjata

Negara asal Alam Melayu
Silat Melayu
Silat Gayung merupakan warisan silat Melayu dari Malaysia yang diiktiraf oleh UNESCO
NegaraMalaysia
Rujukan01504
KawasanAsia Pasifik
Sejarah inskripsi
Inskripsi2019 (sesi 14)
Tradisi Pencak Silat
Pencak Silat warisan budaya Indonesia
NegaraIndonesia
Rujukan1391
KawasanAsia Pasifik
Sejarah inskripsi
Inskripsi2019 (sesi 14)

Silat (Jawi: سيلت) Silat adalah istilah kolektif untuk kelas seni mempertahankan diri asli dari Asia Tenggara. Ia secara tradisinya diamalkan di Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Selatan Vietnam. Terdapat dua versi silat iaitu Silat Melayu dan Pencak Silat. Silat Melayu atau hanya dipanggil Silat adalah istilah seni mempertahankan diri yang digunakan di Brunei, Malaysia, dan Singapura manakala Pencak Silat adalah istilah seni mempertahanan diri Indonesia. Silat Melayu mahupun Pencak Silat telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan budaya milik Malaysia dan Indonesia.[1]

Perbezaan ini terletak dalam erti seni mempertahankan diri seperti di Indonesia. Pencak Silat lebih banyak memiliki nilai budaya yang luas seperti seni, falsafah hidup, nilai rohani dan juga pendidikan karakter. Silat di Brunei, Malaysia, dan Singapura adalah lebih kepada Silat sebagai seni mempertahankan diri[2][3]. Istilah "pencak" yang digunakan dalam Bahasa Jawa dan "silat" daripada kata Bahasa Minangkabau dan Bahasa Melayu. Mereka yang mempelajari seni bela diri silat digelar pesilat. Sekarang ini Pencak Silat di negara-negara Kepulauan Tanah Melayu.Sudah memiliki aliran atau perguruan tersendiri.

Dalam amalan sekarang, pengajar atau guru silat digelar gurulatih dan seseorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu. Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran 'maha' hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perwatakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran tinggi dan ada antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelar pendekar.

Antara senjata silat yang sering digunakan oleh pesilat adalah seperti keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong tombak,cindai, kapak, sabit dan sundang. Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata). Secara amnya, sesebuah aliran silat mengajar kedua-dua kemahiran dan aliran yang hanya menumpukan salah satu daripadanya adalah sedikit. Kebiasaannya seseorang penuntut atau murid baru akan ditumpukan kepada kemahiran tempur tangan kosong sebelum diajar bermain senjata. Bagi sesetengah aliran, hanya murid yang diiktiraf berkemahiran dan mempunyai adab keperibadian yang tinggi dibenarkan mempelajari kemahiran senjata, terutama bagi yang mempunyai senjata yang dianggap senjata 'rasmi' bagi aliran itu.

Pergerakan silat terbahagi kepada bunga yang sesetengah perguruan menganggapnya sebagai pergerakan seolah-olah tarian, (digelar juga seni atau tari) tetapi sebenarnya adalah langkah untuk memusatkan tenaga/mengumpul tenaga atas tubuh badan seorang pesilat dan buah (pukulan atau buah pukul). Bagi mereka yang tidak pernah melihat seni pertahanan diri ini, silat barangkali kelihatan seperti sejenis tarian. Namun, terdapat aliran yang hanya mempunyai buah seperti Silat Cekak dan Buah Bentayan. Seni tari yang halus ini memungkinkannya digunakan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis keramaian, malah hampir setiap aliran mempunyai 'tari sembah' termasuklah aliran yang tidak mempunyai bunga. Tari sembah ini dipersembahkan untuk memperkenalkan diri dan aliran yang diwakili/dipelajari. Dalam situasi pergaduhan, permulaan langkah daripada tari sembah atau sejurus daripada bunga yang diperlihatkan membolehkan pesilat mengenali rakan sealiran dan memungkinkan keadaan berakhir dengan perdamaian dan bermaaf-maafan.

Telah menjadi ungkapan yang biasa disebut oleh guru-guru silat bahawa bunga silat mempunyai seribu satu muslihat. Selain kelihatan mengelirukan (seolah-olah menari) dan sebab-sebab di atas, bunga juga digunakan untuk memberi masa dan ruang kepada lawan untuk menghulurkan salam perdamaian (ini dapat dilihat dalam kebanyakan bunga yang kelihatan seperti menghulur salam), menyembunyikan buah dan sudut serangan dan mengacah serta mengumpan lawan (kadangkala sehingga sengaja menunjukkan bahagian tubuh tertentu bagi diserang untuk memerangkap musuh). Silat Gayung Fatani terkenal dengan pergerakan bunga yang cantik dan istilah 'melilit'. Pesilat aliran ini akan sengaja memberi ruang dan isyarat kepada musuh untuk menyerang atau cuba melepaskan diri, yang mana sekiranya musuh itu cuba menyerang setelah termasuk perangkap kuncian, maka semakin ketat mereka akan 'terbelit' dalam kuncian pesilat aliran ini.

Silat juga terkenal sebagai sistem pertahanan diri yang banyak menggunakan kuncian, sama ada kunci urat saraf atau anggota tubuh. Istilah 'kunci mati' adalah sinonim dengan silat.

  1. ^ Berita Harian (13 Disember 2019). "Silat terima pengiktirafan UNESCO".
  2. ^ [1]. Dicapai 15 Disember 2019
  3. ^ [2]. Dicapai 15 Disember 2019

© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search